Sunday, April 29, 2012

Keselamatan Penggunaan Internet Untuk Kanak-Kanak

Semenjak meneruskan pengajian di peringkat "Sarjana Komputer dalam Pendidikan" tidak pernah terlintas di fikiran aku untuk membuat satu perubahan yang mungkin jarang dilaksanakan secara menyeluruh dalam erti kata dunia kanak-kanak. Ini mungkin disebabkan oleh latar belakang cara kanak-kanak membesar yang sezaman dengan aku yang lebih berorientasikan kepada suasana dan keindahan kampung dan dalam erti kata penggunaan internet, golongan Digital Immigrant seperti aku dan rakan-rakan sepengajian tidak terdedah dengan budaya penggunaan internet. Malahan golongan yang lahir sebelum tahun 1990-an memang dikategorikan sebagai Digital Immigrant dan ketegarannya adalah bergantung kepada penerimaan individu terhadap perkembangan dan ledakan teknologi komputer (internet) ini dalam dunia seharian mereka.

Tapi apa yang kurang terlintas dalam pemikiran ramai golongan pendidik pada hari ini ialah peri betapa pentingnya keselamatan internet dalam kalangan kanak-kanak (khususnya anak-anak) yang masih mengikuti pengajian di peringkat sekolah rendah yang rata-ratanya adalah golongan Digital Native yang memang mempunyai hak untuk menggunakan kemudahan internet sebagaimana layaknya golongan Digital Immigrant yang mandi sungai 20 tahun yang lampau semasa di bangku sekolah. Jadi bagi aku memang istilah kanak-kanak berdasarkan definisi dalam Malaysia yang menyatakan bahawa "Kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak dan Akta Kanak-Kanak, 2001" berdasarkan Dasar Kanak-Kanak Negara berbeza dengan definisi negara lain dan ianya boleh dirujuk di sini

SUMBER : KLIK UNTUK KE LAMAN SEBENAR

Jika dibandingkan dengan konsep yang ditekankan dalam aspek keselamatan internet oleh laman web Kidsmart.UK berdasarkan gambar di atas, kanak-kanak dikategorikan kepada dua kelompok utama iaitu kumpulan peringkat utama iaitu berumur 8-11 tahun dan kumpulan peringkat asas iaitu berumur 3-7 tahun. Oleh yang demikian, kajian internet awal untuk aku dan rakan-rakan melaksanakan projek TT60204 Dinamika Organisasi Pendidikan ini memberikan banyak idea asas yang boleh dilaksanakan dalam ceramah dan bengkel yang dirancang sekitar pertengahan Mei di SK. Sembulan dan SK Seri Gaya Kota Kinabalu nanti. Perbincangan yang kami fokuskan melalui aplikasi atas talian yang menjadi asas untuk berhubung sesama sendiri meletakkan persoalan bagaimana golongan kanak-kanak (khususnya sekolah rendah) terdedah dengan bahaya penggunaan internet dan jika mereka tidak dibimbing dari awal dengan cara yang betul, mereka boleh tersasar dari landasan falsafah pendidikan negara dan usaha melahirkan generasi celik IT yang menekankan aspek moral akan tinggal kenangan.

Apa yang kami ingin kongsikan nanti ialah bagaimana golongan kanak-kanak perlu didedahkan dengan konsep keselamatan penggunaan internet sebagai langkah menangani persoalan tentang golongan ibu bapa dan para guru yang majoritinya adalah golongan Digital Immigrant dan sukar bersaing dengan kemampuan anak-anak dan pelajar mereka dalam aspek mempelajari sesuatu dari dunia maya. Ini kerana golongan kanak-kanak tidak boleh dinafikan hak mereka untuk menggunakan internet, tetapi jika mereka diberi bimbingan yang betul dan tidak mustahil konsep ilmu dapat ditebarkan dengan lebih bermakna iaitu kanak-kanak yang memahami tentang konsep keselamatan ini akan mampu mencari maklumat yang berguna untuk masa depan dan kegunaan akademik mereka. Adalah mustahil untuk ibu bapa dan para guru mengawal tingkah laku anak-anak dan pelajar mereka dalam aspek penggunaan internet ini dengan ledakan teknologi Web 2.0 yang antaranya rangkaian sosial facebook (rujuk entri tentang betapa keselamatan penting kesan daripada facebook di SINI) menjadi laman yang paling diminati di Malaysia dan ramai dalam kalangan kanak-kanak memiliki dan aktif berfacebook.

Dalam peringkat perancangan awal ini, memang tidak aku nafikan bahawa terdapat usaha-usaha yang berterusan oleh pihak kerajaan dan Kementerian Pelajaran khususnya untuk mendidik golongan kanak-kanak tentang kepentingan memahami konsep keselamatan penggunaan internet ini. Malahan trend di negara-negara maju sudah lama melihat kepentingan memberi pendedahan kepada golongan kanak-kanak tentang keselamatan internet ini. Buktinya boleh dilihat melalui gambar-gambar muka depan laman penting berikut:

Laman Kidsmart UK : MASUK KE LAMAN

Laman "Rice Lane Infant and Nursery" di Liverpool, UK : MASUK KE LAMAN

Tip oleh  Rice Lane Infant and Nusery School : SUMBER

Dalam konteks negara Malaysia pula, memang tidak boleh dinafikan isu tentang keselamatan penggunaan internet sudah banyak diperdebatkan dan menjadi antara kesan ledakan teknologi komputer dan internet sejak beberapa dekad lalu semenjak konsep Sekolah Bestari (kelajuan internet yang menjadi penghalang utama). Walau bagaimanapun isu tentang keselamatan penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak masih berada di tahap yang kurang dari kaca mata kami dan penglibatan yang aktif golongan kanak-kanak secara berhemah perlu disemai dan perkongsian kemahiran dan pengetahuan kami kepada pelajar sekolah dan guru-guru sekolah terlibat sebagai batu loncatan untuk program-program yang lebih besar di kemudian hari. Ini kerana konsep Dinamika Organisasi Pendidikan boleh dipratikkan tanpa meletakkan minat dan pengetahuan kami di luar ruang lingkup kursus tersebut. Pengurusan dalam kerja berpasukan telah kami capai dengan penuh makna sebelum ini (Rujuk di SINI) dan kursus semester akhir ini sekali lagi kami akan berkongsi kemahiran dari sudut pandangan golongan kanak-kanak pula.

Berbalik kepada isu keselamatan penggunaan internet dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia sudah ditekankan oleh pihak CyberSecurity sebagai badan penting dalam aspek keselamatan ICT Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Pelajaran khususnya. Pihak CyberSecurity dengan kerjasama MOSTI telah mewujudakan satu laman web yang boleh diakses oleh ibu bapa, para guru, dan pengguna internet lain yang berminat. Walau bagaimanapun, pemerhatian rambang aku dalam aspek ini masih lagi terhad kerana belum melibatkan pelajar dalam aspek yang formal dengan tidak menolak kepentingan mereka belajar untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Oleh itu, penggabungan tentang isu keselamatan ini akan didedahkan melalui ceramah dan seterusnya digabungjalinkan dengan pembelajaran atas talian semasa pelaksanaan projek kumpulan ini nanti. Rujuk gambar-gambar berikut:

Laman Khusus Untuk Keselamatan ICT untuk Kanak-Kanak CyberSecurity. MASUK

Aplikasi permainan, nama aku pun tak muat. Teringat nama member masa sekolah
"Awangku Mohd Akramin Awangku Salleh"

Aspek asas keselamatan ICT. Mana anda letak password email anda?
Aku pernah jumpa password email hanya "."

Poster Menarik, boleh rujuk di SINI

Gambar-gambar di atas menjadi asas dalam penghasilan bahan ceramah yang akan dibuat semasa pelaksanaan program tersebut nanti. Kemudian untuk satu slot yang berkaitan dengan aplikasi terus dengan meletakkan kepentingan pembelajaran kepada para pelajar (kanak-kanak tahun 6 sekolah terpilih), laman web khusus tentang pembinaan soalan-soalan peperiksaan secara percuma akan digunakan. Laman ini merupakan antara laman yang sangat menarik dan boleh diakses dengan mudah. Pelajar akan dibimbing untuk menggunakan laman tersebut dengan berhemah dan set soalan peperiksaan setaraf UPSR matapelajaran matematik akan dimuat naik dan akan dijawab oleh pelajar. Motivasi ekstrinsik akan diaplikasi dengan memberi penghargaan dalam bentuk material (Berkaitan dengan UMS) akan digunakan. Rujuk gambar berikut dan boleh akses laman dan "review" tentang laman melalui link:

Rujuk Laman di SINI, dan aku pernah buat tugasan (review laman) bersama rakan tentang
kelebihan laman ini di SINI 


Nota Tomato:
1. Kertas kerja hampir siap
2. AJK program seperti yang sudah dibincangkan dan akan diedarkan seperti biasa
3. Segala urusan surat menyurat dalam proses
4. Banner Program akan dimuat naik selepas 1 Mei (hari buruh "triple pay" kah kah kah)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...