Saturday, January 7, 2012

Apa akan Menyusul Selepas Teknologi Web 2.0?

Sebenarnya aku bukanlah seorang yang layak untuk menjelaskan tentang apa yang akan berlaku selepas letusan hebat teknologi web 2.0 dewasa ini. Walau bagaimanapun, ledakan tersebut telah mengubah sebahagian besar yang berlaku dalam proses pembelajaran dan pengajaran dalam bidang pendidikan negara. Secara langsung golongan yang dipanggil sebagai pendidik, Guru, Cikgu, Pensyarah, dan istilah lain yang berkaitan dengan bidang pendidikan terpaksa melibatkan diri dalam perubahan gelombang teknologi yang tidak boleh dibendung ini. Lihatlah pada hari ini apabila golongan pelajar hatta masih berada di pendidikan sekolah rendah sudah memiliki akaun laman sosial dan golongan mahasiswa pula lebih selesa mendapatkan maklumat di perpustakaan melalui talian internet berbanding membaca buku rujukan. Keadaan ini boleh dilihat melalui gelagat mahasiswa Universiti Malaysia Sabah yang tidak lekang dengan komputer riba mereka walaupun berada di ceruk mana kampus khususnya di perpustakaan yang menawarkan talian internet yang mudah kepada mereka. Ia amat berbeza dengan zaman aku mengikut pengajian ijazah pertama semasa kampus tetap Teluk Sepanggar dibuka secara rasmi. Kami selesa meminjam buku di perpustakaan dan membuat catatan di buku nota sebelum menterjemahkan hasil tugasan di komputer meja yang kadangkala dikongsi hampir 10 orang pelajar.

Pada hari ini, ledakan web 2.0 banyak membawa perubahan dalam aspek cara pelajar untuk mendapatkan maklumat di samping cara berkongsi maklumat dalam kalangan mereka. Seperti yang sedia diketahui web 2.0 telah mengambil alih web 1.0 melalui konsep perkongsian maklumat hampir tiada batasan melalui platform seperti laman sosial facebook, youtube, kolabarasi melalui wikipedia, dan hujah atau pandangan melalui laman blog. Malahan kewujudan telefon pintar, tablets, dan Wifi telah merancakkan lagi perkembangan teknologi web 2.0 melalui peningkatan kadar pengguna atas talian khususnya di Malaysia. Ini menimbulkan pelbagai kesan khususnya dalam aspek yang berkaitan pengurusan maklumat dalam kalangan remaja. Tengoklah keadaan remaja khususnya di sekolah (pendidikan menengah) pada hari ini yang digambarkan melalui akaun laman sosial facebook mereka. Ianya seolah-olah menjadi satu budaya atau trend untuk memiliki akaun facebook kerana laman sosial tersebut adalah antara laman yang paling diminati di Malaysia. 

Pakar-pakar dalam teknologi internet menganggap perkembangan dari teknologi web 2.0 kepada web 3.0 akan di dasari oleh penambahbaikan dalam aspek ketepatan dan kepelbagaian hasil carian dalam talian. Malahan ianya merujuk kepada bagaimana maklumat pengguna diurus tadbir untuk memastikan ketepatan dan keselamatan dalam aspek penggunaan talian internet ini. Aku tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan dalam kalangan pelajar sekolah menengah apabila ledakan web 3.0 ini berlaku nanti. Ini kerana ianya pasti akan membawa pelbagai kesan kepada gaya pelajar untuk mendapatkan maklumat di samping berkongsi maklumat tersebut bersama-sama mereka mahupun guru atau pensyarah mereka. Begitu juga apabila web 3.0 beralih kepada web 4.0 seterusnya. 

Sebenarnya perkembangan web 2.0 ini sahaja telah memberikan impak yang amat besar dalam bidang pendidikan negara. Peralihan seterusnya akan lebih banyak memberikan impak yang boleh dilihat oleh siapa sahaja khususnya seorang guru di Sekolah Menengah.


Sumber Gambar

Nota Tomato:
1. Maklumat Lanjut di: Hongkiat.Com
2. Aku tak dapat bayangkan bagaimana guru sekolah menengah mengajar 20 tahun akan datang


0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...